Covid-19 screening cases
Gambar hiasan

SIBU – Sarawak membelanjakan RM300 juta untuk membiayai kos keseluruhan operasi vaksinasi sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah berkata, peruntukan itu digunakan bagi membiayai perkhidmatan sokongan termasuk pengangkutan menghantar vaksin ke kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.

Katanya, dana tersebut juga digunakan untuk menampung kos pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC) serta pusat kuarantin di hotel, selain kos menganalisa ujian calitan yang ditingkatkan daripada 2,500 sehari kepada 6,000 sehari ketika kes mencatatkan peningkatan mendadak.

“Pada September 2021, Sarawak mencatat sehingga 5,000 kes sehari. Kalau seorang positif kita perlu membuat pemeriksaan ke atas 10 orang kontak rapat, calitan ini kita bayar, ada yang kita hantar ke Kuala Lumpur dan ada juga dihantar ke pihak swasta di Sarawak,” katanya kepada media selepas menghadiri Malam Apresiasi Bersama Barisan Hadapan COVID-19 Zon Tengah di sini malam semalam.

Majlis itu dihadiri kira-kira 1,000 petugas barisan hadapan dari pelbagai agensi kerajaan dari bahagian dan daerah di wilayah tengah Sarawak.

Uggah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), berkata, jumlah penduduk Sarawak yang layak dan telah mendapatkan dos penggalak kedua setakat ini masih rendah iaitu 7.1 peratus.

“Ini sangat rendah. Kita mohon kepada orang ramai yang belum dapat dos penggalak kedua supaya berbuat demikian dengan segera,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast