CALIFORNIA – Seekor singa gunung yang ditembak polis mati semasa dalam pembedahan di Zoo Oakland, dekat sini pada Jumaat lalu, kata jurucakap zoo.
Haiwan itu ditembak selepas ia dikatakan cuba lompat ke arah seorang anggota polis.
Doktor haiwan Zoo Oakland telah melakukan pembedahan kecemasan sebaik sahaja singa dianggarkan berusia setahun kata jurucakap zoo, Erin Harrison.
Tembakan itu berlaku selepas seorang penduduk di Hollister, kira-kira 160km selatan San Francisco telah ternampak singa itu di anjung hadapan rumah lalu menghubungi polis kira-kira 4.42 pagi, kata Jabatan Polis Hollister dalam kenyataan.
Ketika kakitangan Jabatan Ikan dan Hidupan Liar California cuba menenangkannya, singa itu berlari keluar dari semak meluru ke arah seorang anggota polis.
“Bimbang terhadap nyawa dan keselamatan rakannya, dua anggota polis melepaskan tembakan ke arah singa gunung itu.
“Kami tidak boleh meletakkan nyawa haiwan melebihi nyawa manusia, sebab itu polis melepaskan tembakan,” kata kenyataan polis.
Luka peluru ditemui di bahagian badannya,” kata Mike Perin, jurucakap Jabatan Ikan dan Hidupan Liar.
“Kami tidak menganggap singa gunung itu sebagai ancaman keselamatan awam. Ia tidak bertindak agresif,” katanya sambil menyatakan mahu mengembalikan haiwan itu ke habitatnya selepas pulih.
Pegawai zoo berkata, berat singa itu kira-kira 34kg.
“Ia cantik, dalam keadaan baik, cukup makan, semuanya baik.
“Singa ini mungkin haiwan muda yang suka berkeliaran,” kata Alex Herman, naib presiden perkhidmatan veterinar zoo tersebut.
Sebelum pembedahan, Herman mengakui ada risiko terhadap nyawa singa tersebut.
“Banyak haiwan mati akibat kecederaan seperti ini,” katanya. – Reuters