KUALA LUMPUR – UMNO mungkin sudah tekad untuk melupakan kerjasama Muafakat Nasional (MN) apabila telah ‘menyimpan’ potret Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang daripada tontonan umum.
Ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO lewat malam tadi, wartawan MalaysiaGazette menyedari potret yang sinonim dengan Muafakat Nasional (MN) itu sudah hilang dari tempatnya.
Potret tersebut memaparkan kedua-dua parti Melayu itu bergandingan memegang keris Melayu kebiasaannya sentiasa digantung di lobi menara berkenaan.
Dalam potret itu, Ahmad Zahid mengenakan busana Melayu berwarna merah dan Abdul Hadi mengenakan jubah berwarna putih dan jaket berlogo Pas serta bertasbih.
Potret itu dipercayai telah dibawa keluar dari kedudukannya sebelum mesyuarat Ketua-ketua Bahagian UMNO yang diadakan Isnin minggu lalu.
Difahamkan potret itu sudah dipindahkan ke pejabat MN di tingkat 36 Menara Dato’ Onn.
Pada April 2019 lalu, Ahmad Zahid dan Hadi menurun tandatangan masing-masing pada potret lukisan itu pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) yang menjadi titik bersejarah bagi ummah di Malaysia yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL).
Kerjasama itu bagaimanapun terputus di tengah jalan apabila Pas bertindak menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette