Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bercakap kepada media selepas hadir ke Slot Khas Tanya DRJ sempena Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat di PPD Hulu Langat, Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 OGOS 2022

KAJANG – Perikatan Nasional (PN) mahu pembangkang membuka pintu rundingan kerana tidak mahu Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin berkata, gesaan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada parti pembangkang semalam dibuat selepas melihat kepada dinamika politik semasa.

“Mesej Muhyiddin semalam jelas bahawa politik ini dinamik  dan apa juga boleh berlaku dalam politik.

“Itu yang cuba disampaikan dan dalam konteks ini apa yang penting kita mahu lihat  BN tidak kembali memerintah selepas PRU15,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sempena Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, hari ini.

Muhyiddin dalam Konvensyen PN semalam menggesa agar semua kepimpinan pembangkang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan gabungan itu untuk menghalang BN kembali berkuasa.

Ditanya sekiranya gesaan itu ditolak bulat-bulat oleh pembangkang, Radzi berkata, PN sudah bersedia untuk menghadapi pertembungan dua atau tiga penjuru pada PRU15 akan datang.

Kesediaan itu kerana PN yakin dengan sokongan dan dukungan rakyat terhadap pentadbiran PN yang baik sebelum ini.

“Yang penting jika tiga penjuru, PN bersedia bila-bila masa, itu mesej yang disampaikan Muhyiddin semalam.

“Bila-bila masa PN bersedia dalam konteks berapa penjuru sekalipun, apa yang ditekankan jika kita lihat perbezaan Konvensyen PN semalam dengan apa yang berlaku di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Jauh beza sebab di konvensyen kami bercakap tentang integriti dan kesejahteraan rakyat tapi di WTCKL mengapa PM tak tukar Peguam Negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.