Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Peningkatan inflasi Malaysia 2.8% bagi tempoh Januari-Julai 2022, selari dengan sasaran Bank Negara Malaysia, iaitu di antara 2.2% – 3.2% bagi tahun 2022, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi bagi bulan Julai ini mula menyederhana kepada 0.4% berbanding 0.6% pada bulan Jun 2022.

Ini antara lain hasil daripada penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi oleh Perdana Menteri yang telah berjaya membendung kenaikan harga barang.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi Malaysia mungkin melonjak melebihi 12% sekiranya Kerajaan tidak menyediakan pelbagai subsidi kepada rakyat.

Peningkatan inflasi pada tempoh tujuh bulan pertama itu didorong terutamanya oleh kumpulan makanan & minuman bukan alkohol sebanyak 4.8%, pengangkutan (4.4%) serta restoran & hotel (3.6%).

Kadar inflasi pada bulan Julai 2022 berbanding dengan Julai 2021 meningkat sebanyak 4.4%.

Mustapa berkata, trend kadar inflasi yang tinggi adalah fenomena global yang turut dialami oleh banyak negara di dunia berikutan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.

Walau bagaimanapun, kadar inflasi Malaysia adalah antara yang paling rendah di dunia.

Kadar pada bulan Julai 2022 adalah lebih rendah berbanding United Kingdom (10.1%), Zon Euro
(8.9%), Amerika Syarikat (8.5%), Thailand (7.6%), Singapura (7.0%), Filipina (6.4%), Republik Korea (6.3%) dan Indonesia (4.9%).

”Kadar inflasi pada bulan Julai sebanyak 4.4% didorong oleh peningkatan harga kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol, Restoran & Hotel serta Pengangkutan. Kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol terus mencatatkan peningkatan kepada 6.9%.

”Selain itu, komponen Makanan di luar rumah meningkat sebanyak 7.8% manakala Makanan di rumah naik sebanyak 6.4%. Kumpulan Restoran & Hotel mencatat kenaikan 5.8% pada Julai 2022 disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan di Restoran & Kafe yang meningkat kepada 6.0%, selari dengan peningkatan permintaan berikutan pertambahan bilangan ketibaan pelancong dan kadar purata penginapan hotel yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kumpulan Pengangkutan mencatat peningkatan sebanyak 5.6% pada Julai 2022 disebabkan oleh kenaikan harga purata petrol RON97 kepada RM4.73 seliter, juga selari dengan kenaikan harga minyak mentah Brent sebanyak 46.4% berbanding dengan Julai tahun 2021.

Menurutnya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membendung inflasi dan membantu rakyat mendepani isu kos sara hidup.

Inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berikutan langkah kerajaan terus menyediakan peruntukan subsidi yang lebih besar iaitu sebanyak RM77.7 bilion bagi tahun 2022 berbanding dengan bajet asal sebanyak RM31 bilion dan akan menanggung subsidi elektrik sebanyak RM5.8 bilion bagi mengekalkan tarif elektrik bagi semua pengguna untuk separuh tahun kedua 2022.

Kerajaan juga melaksanakan harga kawalan melalui Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia dan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan.

Antara barangan yang dikawal adalah gula, tepung gandum kegunaan am, minyak masak paket 1kg, ayam dan telur serta RON95 dan diesel, selain meluaskan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) melibatkan 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara dan 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Program JMKM dengan peruntukan RM80 juta dilaksanakan mulai Ogos sehingga Disember 2022 untuk menawarkan pengurangan harga barangan keperluan harian sehingga 20 peratus berbanding harga pasaran semasa setempat.

”Usaha turut diambil untuk memantapkan penguatkuasaan di sempadan bagi mengawal penyeludupan barangan bersubsidi. Pemantauan dan penguatkuasaan bagi 480 item di 1,500 premis seluruh negara juga dilaksanakan secara harian.

”Penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2018 serta Akta Persaingan 2010 turut diperkukuh, selain langkah dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, peranan semua pihak termasuk persatuan pengguna, pemain industri dan peniaga
serta Keluarga Malaysia amat penting dalam usaha untuk memerangi inflasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Inflasi Malaysia meningkat 4.4 peratus pada Julai 2022