Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad melihat antara 50 buah kereta mewah yang disita berikutan tidak mempunyai permit import (AP) bernilai RM11.4 juta termasuk cukai di Wisma Kastam, Pulai Indah. Foto MOHD ADZLAN, 29 OGOS 2022.

PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah menyita 50 kenderaan import menerusi Ops Bearing atas kesalahan mengelak daripada cukai.

Kenderaan mewah bernilai keseluruhan kira-kira RM11.4 juta itu disita sebaik tiba di sini dari beberapa negara berikutan mengimport barang tak berkastam.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad, semua kenderaan yang disita itu melibatkan 41 kereta mewah dan sembilan motosikal berkuasa tinggi.

“Sitaan ke atas semua kenderaan ini dilakukan dalam Ops Bearing yang bermula 15 hingga 31 Ogos ini.

“Ops ini melibatkan anggota Kastam Bahagian Penguatkuasaan dan JKDM Zon Tengah iaitu Bahagian Penguatkuasaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Operasi ini tertumpu kepada kenderaan import,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah, dekat sini, hari ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad melihat antara 50 buah kereta mewah yang disita berikutan tidak mempunyai permit import (AP) bernilai RM11.4 juta termasuk cukai di Wisma Kastam, Pulai Indah. Foto MOHD ADZLAN, 29 OGOS 2022.

Menurut Mohammad Sabri, operasi itu turut mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kata beliau, semua kenderaan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1957 kerana mengimport barang larangan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017, yang mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat tertakluk Permit Import yang dikeluarkan MITI.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1957 seperti cubaan mengimport barang tak berkastam atau apa-apa barang larangan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM50,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ditanya adakah VIP terlibat dengan aktiviti itu, Mohammad Sabri berkata, siasatan masih dijalankan. – MalaysiaGazette