Gambar kiri: Man of the Hole dan tempat persembunyiannya. Foto Twitter

BRASILIA – Individu terakhir kumpulan orang asli yang tidak dapat dihubungi di Brazil telah meninggal dunia.

Lelaki itu, yang namanya tidak diketahui, telah hidup dalam keadaan terpencil sejak 26 tahun lalu.

Dia dikenali sebagai Man of the Hole kerana  menggali lubang yang dalam, termasuk  digunakan untuk memerangkap haiwan manakala yang lain digunakan bagi menyembunyikan diri.

Mayat dia ditemui pada 23 Ogos di dalam buaian di luar pondok jeraminya.

Tiada tanda-tanda keganasan terhadap mayatnya.

Lelaki itu adalah individu terakhir daripada kumpulan orang asli yang baki enam anggotanya lagi terbunuh pada 1995.

Kumpulan itu tinggal di kawasan orang asli Tanaru di negeri Rondônia, yang bersempadan dengan Bolivia.

Majoriti puaknya dianggap telah dibunuh seawal tahun 1970-an oleh penternak yang ingin mengembangkan tanah mereka.

Man of the Hole dipercayai berusia kira-kira 60 tahun dan telah meninggal dunia kerana sebab semula jadi.

Tiada tanda-tanda sebarang pencerobohan ditempat dan pondoknya tetapi polis akan menjalankan siasatan bedah siasat.

Di bawah perlembagaan Brazil, orang asli mempunyai hak ke atas tanah tradisi mereka, jadi mana-mana pihak yang ingin merampasnya akan membunuh mereka.

Keselamatan Man of the Hole telah dipantau oleh ejen Agensi Hal Ehwal Orang Asli Brazil (Funai) sejak 1996.

Pada 2018, Funai berjaya merakam gambar lelaki itu semasa pertemuan secara kebetulan di dalam hutan.

Dalam rakaman itu, dia sedang menebang pokok dengan sesuatu yang menyerupai kapak.

Sejak itu, dia tidak kelihatan lagi tetapi ejen Funai telah menemui pondoknya, yang dibina daripada jerami dan lubang dalam yang digalinya.

Bukti yang ditemui di pondok dan tapak perkhemahannya menunjukkan dia menanam jagung dan manggis serta buah-buahan seperti betik dan pisang.

Terdapat kira-kira 240 puak orang asli di Brazil, majoriti dalam keadaan terancam apabila pelombong haram, pembalak dan petani menceroboh wilayah mereka. – BBC