Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed menunjukkan dadah methamphetamine yang dianggarkan berat keseluruhan 363.03 kilogram bernilai lebih kurang RM10.89 juta yang berjaya dirampas oleh pihak polis ketika Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 29 OGOS 2022.

SHAH ALAM – Polis berjaya mematahkan cubaan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang apabila menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dan merampas 349 bungkusan mengandungi Methamphetamine jenis Syabu seberat 363.03 kilogram.

Dadah itu dirampas dalam serbuan ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang diletakkan di tempat letak kereta berhampiran premis di Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Polis Selangor, Komisioner Polis Datuk Arjunaidi Mohamed, serbuan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada jam 5.20 petang 20 Ogos lalu, turut membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 51 tahun.

Katanya, dadah itu dimasukkan dalam 349 bungkusan kekuningan bertulisan “Guanyinwang” yang dianggarkan bernilai RM10.89 juta.

“Semakan ke atas dua lelaki terbabit, mendapati hanya lelaki berusia 51 tahun itu sahaja mempunyai rekod lampau iaitu tiga rekod jenayah, manakala ujian saringan awal air kencing didapati keduanya negatif.

“Kita percaya dadah ini diseludup masuk dari negara jiran Thailand dan untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Auditorium Menara 1 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Kata Arjunaidi, dua suspek terbabit yang direman selama tujuh hari dari 21 hingga 27 Ogos lalu dilanjutkan reman hingga 2 September ini untuk siasatan.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan.

Jelas beliau, polis juga mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM101,373.

Antara aset sindiket yang disita ialah dua kereta iaitu jenis Hyundai Sonata dan Proton Exora dengan anggaran RM100,000, manakala wang tunai berjumlah RM1,373.

“Kita mengalu-alukan orang awam menyalurkan maklumat jenayah terutama berkaitan dadah kepada polis dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah secara habis-habisan,” katanya. – MalaysiaGazette