Syarikat kitar semula di Bukit Mertajam di sini didenda susulan membuat penstoran luar tapak bagi buangan terjadual tanpa lesen.

SEBERANG PERAI – Sebuah syarikat kitar semula buangan terjadual di Bukit Minyak, Bukit Mertajam di sini, didenda RM58,000 kerana membina stor di luar tapak yang dibenarkan bagi buangan terjadual tanpa lesen serta beroperasi tanpa kelulusan Laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hukuman itu dijatuhkan terhadap syarikat berkenaan di Mahkamah Sesyen Butterworth dekat sini bagi dua pertuduhan.

Kata beliau, syarikat tersebut didenda RM8,000 untuk pertuduhan beroperasi tanpa lesen dan RM50,000 bagi pertuduhan beroperasi tanpa memperolehi kelulusan EIA.

Pegawai JAS negeri menjalankan siasatan di syarikat tersebut baru-baru ini.

“Syarikat berkenaan mempunyai lesen sebagai Premis Yang Ditetapkan (Buangan Terjadual) bagi memproses buangan terjadual.

“Bagaimanapun, tiada lesen dan kelulusan EIA bagi satu tapak penstoran luar tapak di Permatang Pauh dimana buangan distor,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, premis atau lokasi yang digunakan untuk aktiviti melibatkan buangan terjadual termasuk penstoran perlu mendapatkan kelulusan EIA dibawah Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974  terlebih dahulu dan lesen di bawah Seksyen 18 akta sama. – MalaysiaGazette