Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Taklimat Khas Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung rakaman video ucapannya pada taklimat khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu lalu.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, siasatan ke atas bekas Perdana Menteri itu dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Siasatan ke atas Ahmad Zahid dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu pengunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Setakat ini pihak polis telah menerima sebanyak 12 laporan polis dan siasatan masih dijalankan,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Parti Amanah Negara (Amanah) membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid dengan mendakwa dalam ucapannya,  beliau secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Razak.

Laporan polis itu dibuat Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan yang meminta polis menyiasat pihak yang bertanggungjawab memuat naik video taklimat Ahmad Zahid dan penganjur majlis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya mengesahkan menerima laporan polis berhubung perkara tersebut. – MalaysiaGazette