Tertuduh, Amirul Amin Amirruddin, 19 (tengah) yang menekup muka teman wanitanya dengan bantal sehingga mati di Kampung Pandan Klang pada 24 Ogos lalu dibawa untuk didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh ketika di Mahkamah Masjistret Klang. Foto MOHD ADZLAN, 30 OGOS 2022.

KLANG – Seorang mekanik didakwa membunuh kekasihnya dengan menekup muka menggunakan bantal di Kampung Pandan, di sini, pada 24 Ogos lalu.

Amirul Amin Amirruddin, 19, mengangguk sebagai isyarat memahami pertuduhan selepas jurubahasa membacakan kertas pertuduhannya di hadapan Majistret Noorjidah Mohd Jusan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Amirul Amin dengan niat melakukan membunuh dan mendatangkan kematian terhadap mangsa, Nurul Shahira Abdullah, 24 tahun.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada hari Rabu 24 Ogos 2022 jam lebih kurang 7.18 petang bertempat di rumah beralamat Lot 4475, Lorong Haji Mahat, Kampung Sri Pandan, Klang.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hanis Zulkapli mengendalikan pendakwaan manakala Amirul Amin diwakili peguambela Mohd Norazihan Adnan dari firma peguambela dan peguamcara Ashraff Al-Hirzan &Associates.

Noorjidah menetapkan tarikh 26 Oktober 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen laporan bedah siasat, DNA dan Forensik.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda tekup muka kekasih dengan bantal hingga mati