Muhammad Azrin Budimaeng (atas) dan remaja perempuan 14 tahun (bawah) didakwa bersama mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan di Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Seorang remaja perempuan dan kekasihnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menculik bayi berusia sembilan bulan di Taman Pauh Perai di sini, pada 23 Ogos lalu.

Muhammad Azrin Budimaeng, 18, dan remaja berusia 14 tahun itu membuat pengakuan sedemikian selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Nurulrasyidah Mohd Akit.

Muhammad Azrin dibenarkan ikat jamin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama menahan dengan cara melarikan secara salah seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 23 Ogos lalu jam 5.30 petang di Pangsapuri Idaman Taman Pauh Perai dalam Daerah Seberang Perai Tengah di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Fatin Nabila Hussin.

Remaja bawah umur mengaku tak bersalah atas pertuduhan culik bayi sembilan bulan.

Semasa prosiding, Mohammad Syafiq Nasrullah memohon mahkamah menawarkan jaminan yang tinggi serta syarat ketat terhadap tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kes.

Bagaimanapun, Fatin Nabila meminta jaminan yang munasabah memandangkan tertuduh pertama bawah umur dan tinggal bersama nenek serta datuknya berikutan ibu bapanya telah bercerai selain kehidupan remaja terbabit tidak dipedulikan sejak penceraian itu.

Manakala bagi tertuduh kedua pula, Fatin Nabila memberitahu mahkamah bahawa lelaki itu merupaka anak kedua daripada lima beradik dan perlu mennanggung dua adik berusia 10 dan 11 tahun susulan ibunya sakit manakala bapa tirinya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Selain itu, Fatin Nabila turut memaklumkan kedua-dua tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ini merupakan kesalahan pertama mereka.

Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat hanya waris kepada remaja perempuan itu dibenarkan menjadi penjamin.

Kes ditetapkan 3 Oktober ini untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

ARTIKEL BEEKAITAN

Remaja 14 tahun antara lima direman bantu siasatan culik bayi

MalaysiaGazette pada 24 Ogos lalu melaporkan lima individu termasuk seorang remaja bawah umur direman empat hari bagi membantu siasatan larikan bayi perempuan di sebuah Pangsapuri Taman Pauh Perai di sini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada cucu kepada pengasuh bayi tersebut, kekasihnya, rakan dan ibu serta bapa tiri kepada suspek lelaki itu. – MalaysiaGazette