KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor yang mengambil tindakan sivil untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah projek solar.
Ia merupakan cubaan saat akhir sebelum sebelum Mahkamah Tinggi memberikan keputusan berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion pada Khamis ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid hari ini menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu mencabar pelantikan Sri Ram sekaligus membatalkan keseluruhan prosiding dihadapi sejak 2018.
Ahmad Kamal tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman yang difailkan Rosmah itu.
Sebaliknya mahkamah bersetuju dengan bantahan awal responden bahawa permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu difailkan di luar tempoh yang ditetapkan.
Pada 11 Ogos lalu, mahkamah mendengar penghujahan panjang lebar peguam-peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah serta Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bagi pihak Kerajaan Malaysia dan Sri Ram yang mewakili dirinya selaku responden.
Untuk makluman, Rosmah telah mengambil pendirian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Jenayah terlebih dahulu bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebelum Mahkamah Persekutuan pada 27 Mei lalu memutuskan relif yang sesuai difailkan adalah melalui permohonan sivil.
Itu juga antara hujah selepas Shamsul Bolhassan melontarkan undang-undang memperuntukkan semakan kehakiman perlu difailkan dalam tempoh tiga bulan daripada isu berhubung pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan di bangkitkan sebelum ini.
Manakala Sri Ram juga pernah berhujah dengan mendakwa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan permohonan semakan kehakiman kerana ia bertujuan mencabar isu melalui permohonan sivil sedangkan ia telah diputuskan oleh mahkamah jenayah.
Sebelum ini, Rosmah memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Jenayah, namun, ditolak manakala rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, juga tidak dibenarkan.
Rosmah ketika ini berdepan dakwaan telah meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.
Ia sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak.
Prosiding keputusan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan berjalan sekitar 9.30 pagi pada Khamis. – MalaysiaGazette