KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas yang dalam perjalanan ke Hospital Serdang maut selepas motosikal yang ditunggang suaminya bergesel dengan lori semalam.
Kejadian itu berlaku kira-kira 12.15 tengah hari semalam di Lebuhraya Silk yang menghubungkan Kajang ke Puchong.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Bin Wan Yusoff berkata, penunggang motosikal itu adalah lelaki tempatan berusia 71 tahun dan isterinya, 60 tahun, dari Sungai Chua, Kajang.
“Kejadian berlaku apabila di Lebuhraya Silk sebelum susur ke Uniten apabila suami mangsa telah ubah haluan motosikal dari lorong tengah ke lorong kiri lalu bergesel dengan sebuah lori yang berada di lorong kiri lebuh raya tersebut.
“Pergeselan tersebut menyebabkan motosikal hilang kawalan lalu terbabas di tengah jalan.
”Penunggang motosikal mengalami luka di kepala dan patah tangan kanan manakala isterinya alami pendarahan dalam kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Serdang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mangsa meninggal dunia lebih kurang 1 tengah hari semasa menerima rawatan.
Wan Kamarul berkata, siasatan mendapati suami mangsa tidak mempunyai lesen memandu.
Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta saksi yang melihat kejadian itu agar tampil membantu siasatan lanjut polis. – MalaysiaGazette