Para peserta bergambar kenangan di Dewan Kuliah Fakulti Kejuruteraan UM.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 123 orang murid tahun enam dari SK Sri Langat, Banting, Selangor telah melakukan lawatan ke Universiti Malaya (UM) baru-baru ini, antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan awal mengenai bidang kerjaya dan peluang melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi setamatnya pengajian di peringkat sekolah kelak.

Walaupun mungkin ada yang merasakan pendedahan ini terlalu awal untuk murid-murid yang belum lagi menamatkan persekolahan rendah mereka, namun usaha ini mampu menyuntik motivasi kepada mereka untuk meneruskan pelajaran dengan sungguh-sungguh di sekolah,” kata Prof. Madya Dr. Rosmadi Fauzi, Yang Dipertua PIBG SK Sri Langat.

SK Sri Langat merupakan sekolah kluster kecemerlangan STEM dan kesenian.

Lawatan yang julung kali diadakan oleh sekolah ini selepas pandemik Covid-19 ini juga merupakan lawatan murid sekolah yang pertama diterima oleh UM.

”Kami amat berbesar hati menerima kunjungan mereka kerana secara tidak langsung program ini menunjukkan universiti adalah sebahagian daripada masyarakat.

”Proses pembangunan anak-anak ini melalui bidang pendidikan akan memastikan kemajuan masyarakat setempat yang holistik dan menyeluruh,” kata Prof. Dr. Hanafi Hussin, Dekan Fakulti Seni Kreatif UM yang menyambut kunjungan peserta program di Panggung Eksperimen.

Selain Fakulti Seni Kreatif, program yang dinamai ‘Sehari Sebagai Mahasiswa’ ini turut dijayakan dengan kerjasama pelbagai unit di dalam UM, termasuklah Pusat Pemasaran dan Pengambilan (MRC), Pejabat Komunikasi Korporat, Fakulti Kejuruteraan, dan Muzium Seni Asia.

Sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa jurusan geografi dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial juga meluangkan masa menjadi fasilitator kepada para peserta program.

Menariknya, peserta program diberi peluang menikmati jamuan tengah hari di dalam Dewan Tunku Canselor (DTC).

”Saya difahamkan peluang sebegini amat jarang diperolehi kerana DTC dikhususkan untuk acara rasmi universiti sahaja, seperti istiadat konvokesyen.

Jadi peluang yang diberikan oleh penganjur kepada kami ini pastinya akan menjadi memori yang indah kepada semua murid yang terlibat, dan menambahkan semangat mereka untuk belajar di sekolah dan menjejakkan kaki ke universiti satu hari nanti,” kata Ruslan Lebai Yakub, Guru Besar SK Sri Langat, yang mengetuai kumpulan guru pengiring program.

Hanafi berkata, walaupun program ini agak singkat dan hanya sebahagian UM sahaja yang sempat dilawati, namun saya percaya objektif program telah tercapai apabila melihat riak wajah murid-murid ini.

”Saya pasti keletihan yang dirasai dalam perjalanan yang jauh dari Banting telah terubat apabila menjejakkan kaki ke kampus UM buat pertama kalinya. Saya doakan mereka, guru-guru, ibu bapa, dan semua warga SK Sri Langat terus maju jaya dalam usaha mendidik dan membina sahsiah anak-anak ini,” katanya. – MalaysiaGazette