Lautan manusia yang hadir sejak awal pagi untuk mengikuti Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 31 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kehadiran orang awam yang mencecah ratusan ribu untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka hari ini di luar jangkaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kagum dengan kegigihan orang ramai yang sanggup datang sejak awal pagi untuk bersama-sama meraikan hari bersejaraah itu.

“Saya jangka mungkin sampai 100,000 tapi kalau tengok kehadiran orang ramai mungkin ratusan ribu sebab tiada ruang kosong,” kata beliau selepas acara berkenaan selesai.

Sebelum ini, Annuar menjangkakan sambutan Hari Kemerdekaan negara akan disertai 50,000 pengunjung sahaja.

Sebahagian orang awam yang memeriah sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 31 OGOS 2022.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022  berpuas hati dengan perjalanan acara sejak pagi tadi.

“Alhamdulillah semua baik, saya kagum dengan kesungguhan para peserta bukan sahaja daripada latihan dan raptai dan pada hari sebenar mereka semua melakukan yang terbaik.

“Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kagum dengan kesungguhan para peserta.

Begitu juga dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kelihatan orang ramai yang menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan negara di celah-celah tiang sebuah bangunan di Dataran Merdeka. Foto MUHD NA’IM, 31 OGOS 2022.

Annuar turut mengucapkan penghargaan  kepada semua peserta yang telah terlibat dalam perarakan dan perbarisan pada hari ini kerana komited untuk membuat persembahan yang terbaik.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua jawatankuasa induk, teknikal serta semua peserta daripada kontinjen dan unit,” tambah beliau. MalaysiaGazette