WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan berhenti membeli dan menyediakan suntikan Covid-19 pada bulan Januari tahun depan kerana kekurangan dana.
Oleh itu, rakyat AS yang mahu mendapatkan vaksin perlu melalui syarikat insurans atau membayarnya sendiri.
Pegawai Kesihatan AS mengadakan mesyuarat lebih daripada 100 wakil daripada pembuat ubat, jabatan kesihatan negeri dan tempatan, penyedia kesihatan dan penanggung insurans pada hari Selasa (30 Ogos) untuk membincangkan rancangan kerajaan mengalihkan penjualan vaksin dan terapeutik Covid-19 ke pasaran komersial, menurut Dawn O’Connell.
Beliau yang mengetuai Pentadbiran Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia untuk Kesediaan dan Tindak Balas Strategik berkata, sejak wabak itu bermula, Kerajaan AS dan syarikat farmaseutikal telah membincangkan peralihan suntikan dan ubat Covid-19 daripada perolehan Persekutuan kepada jualan komersial, sama seperti suntikan selesema bermusim yang kini dilaksanakan.
Peralihan ini bermakna rakyat AS mungkin berdepan dengan kos untuk mendapatkan suntikan Covid-19 daripada Pfizer dan Moderna, antara produk lain.
“Kami sentiasa berhasrat untuk mengalihkan kerja ini ke pasaran komersial dan telah merancang untuk peralihan itu dalam beberapa waktu sekarang,” tulis O’Connell dalam blognya.
Namun, tempoh peralihan itu disegerakan sejak enam bulan lalu tanpa dana tambahan daripada Kongres untuk menyokong peralihan ini.
Sudah 530 hari sejak Kerajaan AS menerima pembiayaan baharu untuk respons Covid-19, kata O’Connell.
AS juga menjangka untuk berhenti membayar untuk rawatan Covid-19 seperti Paxlovid Pfizer pada pertengahan 2023 apabila bekalan kehabisan, katanya. – Bloomberg