KUALA LUMPUR – Yayasan Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Bank Rakyat memperkukuhkan kerjasama strategik melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) Projek Wakaf Tunai UKM-Bank Rakyat bagi menyediakan saluran dan pengurusan kutipan wakaf tunai yang bakal memantapkan kutipan wakaf di UKM.

Melalui kerjasama itu, Bank Rakyat akan membantu UKM dalam mempromosi, mengumpul dan bersama-sama mengurus serta mentadbir Dana Wakaf yang diterima apabila orang ramai boleh berwakaf kepada UKM di semua kaunter Bank Rakyat.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat UKM, Prof. Datuk Dr. Norazah Mohd Nordin berkata, kerjasama itu bakal memberikan manfaat kepada pelbagai masyarakat khususnya warga UKM yang ingin berwakaf, sesuai dengan naratif baharu UKM sebagai Universiti Watan.

”Kerjasama ini membolehkan kutipan wakaf dilakukan di semua kaunter cawangan Bank Rakyat di seluruh negara dan platform-platform lain yang disediakan oleh Bank Rakyat. Saya berharap ia mampu menarik minat lebih ramai filantropi di negara kita untuk menjadikan UKM sebagai saluran untuk berwakaf.

”Wakaf tunai yang diberikan akan disalurkan bagi tujuan kebajikan, pendidikan dan pembangunan yang akan memberikan manfaat kepada orang ramai khususnya warga UKM,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Pertukaran Dokumen MoA, di Menara Kembar Bank Rakyat baru-baru ini.

Selain itu, katanya, kerjasama ini juga bakal membantu mengembangkan industri wakaf di Malaysia serta memartabatkan wakaf sebagai salah satu instrumen kewangan Islam yang terpenting dalam menyelesaikan pelbagai masalah ekonomi umat dan negara secara dinamik. – MalaysiaGazette