Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan khas tersebut di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Harga siling minyak sawit botol pelbagai saiz diturunkan berkuat kuasa 8 September hingga 7 Oktober ini.

Penurunan itu menyaksikan minyak masak lima kilogram (kg) dijual pada harga RM33.50 berbanding RM34.70 sebelum ini.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, penurunan harga itu tetap dilaksanakan walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) menyaksikan sedikit peningkatan.

”Untuk bulan Ogos lalu, kita dapati terdapat kenaikan sedikit MSM daripada RM4,060 kepada RM4,170, naik RM110.

“Walaupun harga minyak sawit CPO naik sedikit, Jawatankuasa telah memutuskan supaya untuk menurunkan lagi harga maksimum minyak sawit botol 5 kilogram,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Untuk harga minyak masak tiga kg pula Annuar berkata, ia akan diturunkan daripada RM21.70 kepada RM21.10.

Manakala bagi minyak masak dua kilogram diturunkan sebanyak 40 sen kepada RM14.30.

Dalam pada itu, Annuar berkata, pihaknya berkuasa hati dengan syor yang dikemukakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) harga minyak boleh terus diturunkan. – MalaysiaGazette