Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media mengenai Program Visa Premium Malaysia di Blok D1, Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) nemperkenalkan Program Visa Premium (PVIP) Malaysia yang terbuka kepada hartawan asing kecuali Israel dan negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, program ini membolehkan warga asing berada dalam negara lebih lama bagi tujuan belajar, melabur, bekerja dan menjalankan perniagaan.

Menurutnya, program itu berkonsepkan “residensi melalui pelaburan” atau dikenali sebagai Golden Visa seperti diperkenalkan beberapa negara lain di dunia antaranya Thailand, Singapura dan Portugal.

”Program ini adalah yang pertama seumpamanya diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia dan ianya akan dibuka untuk permohonan mulai 1 Oktober 2022,” katanya ketika sidang media.

Melalui program ini, Hamzah menjangkakan hasil negara sebanyak RM200 juta dengan simpanan tetap RM1 bilion pada tahun pertama pelaksanaannya menerusi penyertaan yang diramal mencecah 1,000 orang.

Program baharu ini berpeluang memacu pertumbuhan ekonomi, menjana hasil pendapatan negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Jelasnya, bilangan pemohon akan dihadkan kepada 1% daripada penduduk Malaysia dan ia juga termasuk kombinasi peserta bawah program Malaysia My Second Home (MM2H).

Peserta juga tidak layak menukar status warganegara mereka.

Tiga syarat utama lain untuk memohon menyertai PVIP adalah bukti pendapatan sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan atau RM480,000 secara tahunan.

”Selain itu peserta perlu membuktikan pemilikan akaun simpanan tetap sekurang- kurangnya RM1,000,000 dan tiada pengeluaran dibenarkan ke atas nilai prinsipal.

“Pengeluaran sebanyak 50 peratus daripada nilai prinsipal dibenarkan selepas setahun menyertai Program ini bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan,” tambah beliau.

Katanya, yuran penyertaan sebanyak RM200,000 secara one off untuk prinsipal manakala  RM100,000 bagi setiap tanggungan.

Manakala yuran tahunan pula adalah sebanyak RM2,000.

Selain itu kata Hamzah lagi, kelulusan PVIP Malaysia iyang akan di proses oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ni untuk tempoh 20 tahun dan diberikan dengan kaedah setiap lima tahun.

“Perlu mengemukakan Sijil Berkelakuan Baik (LOGC) untuk semua peserta dan tanggungan yang dikeluarkan dan disahkan oleh pihak berkuasa negara asal atau negara bermastautin,” tambah beliau.

Mengulas lebih lanjut Hamzah berkata setiap permohonan akan ditapis secara terperinci terlebih dahulu bagi memastikan aspek keselamatan dan kedaulatan negara terjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast