Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun yang berjalan serentak bagi setiap hukuman dan denda RM970 juta kepada Datuk Seri Rosmah Mansor atas kesalahan meminta rasuah dalam projek tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Rosmah didapati bersalah menerima RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sesyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan telah membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Rosmah dibenarkan menanggguhkan hukuman dengan jaminan sebanyak RM2 juta.

Jika isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu gagal membayar denda itu, hukuman penjaranya boleh ditambah lagi 30 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast