Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-68 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Pas sudah muktamad bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gagasan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebuah jawatankuasa perundingan kerusi telahpun diwujudkan oleh PN.

“Saya telah bertemu dengan rakan-rakan dalam mesyuarat di peringkat pimpinan tertinggi majlis tertinggi parti. Suka saya maklumkan telah menubuhkan jawatankuasa perundingan kerusi sebagaimana telah disebutkan oleh Ketua Pemuda.

“Kita telahpun memulakan perbincangan tersebut. Alhamdulilah ruangannya sangat mudah perbincangannya sangat baik dan muafakatnya sangat utuh.

“Kita yakin kita boleh selesai dalam hanya dua tiga kali perundingan soal kerusia akan selesai. Insya-Allah,” kata Tuan Man dalam ucapan persamian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-63 hari ini.

Serentak itu katanya, Pas akan membuat satu pengumuman penting dalam bulan ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika hadir pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-68 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 SEPTEMBER 2022.

Beliau berkata, Pas tidak boleh mengetepikan Bersatu selepas pengorbanan yang dibuat oleh pemimpin parti itu yang keluar daripada Pakatan Harapan (PN) hingga menyebabkan tertubuhnya kerajaan baharu.

Tuan Ibrahim menegaskan, Pas akan berkawan di waktu susah dan senang dalam situasi gawat ataupun situasi senang.

Katanya, muafakat politik bukan hanya bersifat sementara tetapi menunjukkan hala tuju ke mana negara dan rakyat hendak di bawa.

“Keberadaan kita dalam Kerajaan Persekutuan hasil daripada rakan-rakan kita yang berada dalam Pakatan Harapan.

“Kita menghargai betapa besarnya perjuangan dan pengorbanan mereka. Sebab itu bagi kita apa juga muafakat politik kita tidak boleh mengetepikan rakan kita dalam Bersatu.

“Tanpa mereka, UMNO pun tak mungkin berada dalam Kerajaan Persekutuan pada hari ini. Takkan jika kita menang jadi kerajaan tiba-tiba kita nak mengetepikan sahabat dan rakan kita,” jelas Tuan Ibrahim.

Dalam ucapannya beliau berkata, Pas muktamad menolak kerjasama dengan PH.

Namun Pas tetap membuka ruang perundingan kepada parti yang tidak bersifat ekstrem atau pelampau.

“Kita hendak tegaskan kepada Dewan Pemuda keputusan bahawa Pas menghadapi pilihan raya dalam gagasan Perikatan Nasional sebagai platform.

“Namun kita menyedari beberapa kerusi yang perlukan perbincangan bagi mengelakkan kemenangan kepada Pakatan Harapan khususnya DAP dan rakan-rakan mereka.

“Ini bukan bermakna kita takut menghadapi pilihan raya, saya nak tegaskan Pas dan PN bersedia dalam semua situasi yang ada dalam menghadapi pilihan raya kali ini, kita bersedia bertempur dalam semua keadaan,” kata Tuan Ibrahim.

Sejumlah 792 perwakilan dari 198 bahagian menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-63 yang bermula hari ini.

Dianggarkan 1,300 perwakilan dari 197 kawasan seluruh negara akan hadir ke muktamar yang diadakan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut bermula 3 hingga 4 September ini.

Jumlah itu termasuk 17 orang daripada Majlis Syura Ulamak, 50 jawatankuasa kerja Pas Pusat dan 14 Pesuruhjaya Pas negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan.- MalaysiaGazette