Barangan yang dirampas daripada seorang penunggang motosikal.

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal peribadi ditahan kerana memiliki senjata tajam dan objek yang menyerupai pistol ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek ditahan kira-kira 1.56 pagi semalam ketika polis sedang melakukan rondaan di Stesen Minyak Ukay Perdana di Hulu Kelang.

Hasil pemeriksaan di dalam beg silang suspek telah menjumpai satu bilah kerambit, satu objek menyerupai pistol dan satu unit walkie talkie.

Suspek dipercayai menyimpan senjata berkenanan untuk kegunaan pekerjaan suspek sebagai pengawal peribadi.

Suspek mempunyai dua rekod lampau atas kesalahan dadah tetapi ujian air kencingnya didapati negatif.

Reman terhadap suspek selama empat hari.

Mohamad Farouk berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta. Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan 1958. iaitu memiliki kerambit jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun, atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 36 Akta senjata 1960 iaitu memiliki senjata palsu menyerupai pistol, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu. – MalaysiaGazette