Ismail Sabri (tengah) ketika mengadakan lawatan kerja di Baling, Kedah hari ini.

BALING – Kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM17.8 juta bagi kerja baik pulih infrastruktur dan rumah penduduk yang terjejas akibat bencana aliran puing serta banjir lumpur di Kampung Iboi di sini pada 4 Julai lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RM10 juta diperuntuk bagi membina jambatan konkrit menggantikan jambatan bailey yang dibina sementara susulan Jambatan Kampung Iboi roboh akibat kejadian berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  (kiri) pada sidang media di Baling, Kedah hari ini.

Jelas beliau, sebanyak RM4.8 juta pula diperuntuk bagi membaik pulih 17 titian di kawasan kampung yang telah roboh manakala RM3 juta lagi untuk membina 17 buah rumah baru kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai atas faktor keselamatan mereka.

“Lawatan kerja saya ke Baling hari ini untuk memastikan janji kerajaan kepada penduduk yang terjejas akibat tragedi bencana dilaksanakan bukan sekadar omong kosong.

“Ketika tragedi tempoh hari saya tiada dalam negara dan peruntukkan telah diumumkan dan hari ini saya turun untuk melihat sendiri kerja pembinaan, pembaikan semula infrastruktur dilakukan.

“Bagaimanapun hasil lawatan hari ini kita dapati beberapa lagi peruntukan tambahan diperlukan demi keselamatan serta kesejahteraan penduduk di sini,” katanya pada sidang media di Dataran Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Ismail Sabri menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa banjir puing Baling, Kedah hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid serta Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Terdahulu, Ismail Sabri meluangkan masa hampir tiga jam bersama rakyat di daerah Baling dalam lawatan kerja beliau ke negeri Kedah selama dua hari bermula hari ini.

Beliau meninjau kawasan tragedi banjir puing di Kampung Iboi dengan diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor serta Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah.

Susulan itu, beliau menghadiri Majlis Doa Selamat sempena Hari Kemerdekaan serta merasmikan Dataran Keluarga Malaysia yang diwakafkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez. – MalaysiaGazette