Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 23 September depan bagi pasangan suami isteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina menetapkan 23 dan 26 September, 14 dan 28 Oktober, 21  dan 30 November, 1, 7 Disember dan 3, 9 hingga 13 Januari 2023 untuk membela diri.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Zizie Izette diperintahkan memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi selepas Mahkamah Sesyen memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Rozina menetapkan tarikh-tarikh berkenaan sejurus selepas mengadakan perbicangan dengan semua pihak di kamarnya kira-kira setengah jam.

Walaupun pada awalnya dimaklumkan Bung Moktar dan Zizie Izette akan mengadakan sidang media berhubung keputusan mahkamah itu namun pasangan tersebut terus menuju ke kereta mereka selepas penetapan tarikh membela diri.

Ketika membacakan penghakimannya, Rozina berkata, beliau berhati-hati dalam meneliti semua keterangan dikemukakan terutama oleh saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25 iaitu dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar serta Madhi Abdul Hamid.

Walaupun Rozina mengakui terdapat percanggahan keterangan kedua-dua saksi itu namun secara keseluruhan ia tidak memberi kesan kepada pertuduhan terhadap Bung Moktar dan Zizie Izette.

“Kita terima keterangan saksi-saksi lain yang telah memberi kenyataan saksi kepada mahkamah.

“Tuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 membabitkan tertuduh pertama berjaya dibuktikan pada tahap prima facie, bahawa RM2.8 juta diperoleh menerusi tertuduh kedua.

“Manakala Sesyen 50 Akta SPRM 2009 terpakai bagi tertuduh pertama yang menerima suapan RM2.8 juta untuk dorongan sebagai hal ehwal prinsipal mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II (ketika itu) untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai unit amanah Public Mutual.

“Tuduhan kepada tertuduh kedua juga berjaya dibuktikan oleh pendakwaan pada tahap prima facie selaras inti pati Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 setelah meneliti dan berpuas hati dengan hujahan semua saksi sedia ada,” katanya.

Rozina kemudian menawarkan pasangan itu tiga pilihan sama ada berdiam diri dengan tidak menjawab tuduhan, memberi kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas pendakwaan atau memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk menyoal mereka.

Peguambela, Datuk K Kumaraendran dan M Athimulan memaklumkan pasangan suami isteri itu memilih pilihan ketiga.

Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra itu didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala pasangan itu diwakili peguam, Kumaraendran, Athimulan dan Ridha Abdah Subri. -MalaysiaGazette