Annuar (tiga dari kiri) menyampaikan Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Melaka, malam tadi.

MELAKA – Kerajaan membentuk satu pasukan petugas khas untuk memperincikan perakuan-perakuan baharu dalam kerangka perundangan jenayah siber agar dapat mengenakan tindakan lebih berat terhadap pelaku di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu penting selepas melihat kes-kes penipuan siber yang semakin hari berada ditahap membimbangkan.

“Saya rasa sangat concern kerana mendapat banyak laporan orang ditipu scammer, hilang duit dalam akaun dan nampaknya kita ini macam sudah kalah dengan penjenayah-penjenayah siber.

“Melihatkan kepada laporan polis, penipuan siber ini sangat serius apabila lebih 20,000 kes sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebahagiannya sudah dituduh di mahkamah.

“Tapi banyak juga yang tak ada tindakan susulan kerana tak boleh nak kesan pelaku-pelaku ini secara tepat (selain) juga bukti berdasarkan undang-undang yang ada (dah lama) sebab tu kita kena tengok balik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan Taklimat Telekomunikasi Bersama Pengguna Negeri Melaka di sini malam ini.

Annuar Musa

Hadir sama Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia mencatat lebih 20,000 kes jenayah siber tahun lalu melibatkan kerugian berjumlah RM560 juta membabitkan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel.

Untuk rekod kira-kira 13,000 kes jenayah siber dengan kerugian RM539 juta dicatatkan pada 2019.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, selain menambah baik undang-undang sedia ada, pasukan petugas khas itu juga berperanan menyemak semula kadar denda agar ianya lebih setimpal dengan kesalahan dilakukan.

“Ketiga, adalah pasukan ini juga perlu menyediakan satu pusat di mana mangsa penipuan siber boleh membuat rujukan dengan cepat tanpa perlu lagi mereka disambungkan ke sana dan ke sini dan sebagainya.

“Kita sedang cari satu kaedah bagaimana satu pusat yang dapat berkongsi data dan satu lagi pusat yang dapat kita merujuk kes-kes penipuan siber yang berlaku,” katanya.

Annuar (tengah) bergambar bersama sebahagian daripada 30 Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Melaka yang menerima watikah pelantikan malam tadi.

Selain itu jelasnya, beliau juga sedang berkomunikasi dengan rakan sejawatannya di negara-negara sempadan Malaysia terutamanya ASEAN antara lain perbincangan berkaitan masalah perkongsian data rentas sempadan.

Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga katanya telah bersetuju supaya kerajaan memberi keutamaan berhubung perkara itu termasuk keperluan bajet.

Ia termasuklah untuk melihat teknologi yang digunapakai beberapa negara lain dalam usaha mengekang jenayah siber daripada semakin berleluasa. – MalaysiaGazette