Sanusi Md Noor.-Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Pas Kedah masih membuka pintu rundingan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk membincangkan soal 27 kerusi berisiko agar kawasan Parlimen itu tidak jatuh kepada Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, pihaknya mengharapkan rundingan itu berhasil bagi menghalang PH membentuk kerajaan termasuk di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kalau tak dirundingkan, siang-siang sudah dapat dekat PH, sayang pula. Jadi rundinglah selagi boleh, saya sedia untuk runding, takut mereka (UMNO-BN) tak sedia.

“Kerusi tak cukup (untuk) semua orang, saya faham dilema yang dihadapi mereka (UMNO-BN), kalau ada ruang di mana-mana elok kita runding,” katanya yang juga Menteri Besar Kedah kepada pemberita pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) ke-63 di sini malam tadi.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa Pas dan UMNO kembali berunding untuk menyelamatkan 27 kerusi Parlimen berisiko jika dua parti terbesar itu bertembung pada PRU-15.

Sementara itu, Sanusi juga akan mencadangkan penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) dengan logo Pas di Kedah dalam mesyuarat gagasan itu dalam masa terdekat.

“Kalau belum dimuktamadkan penggunaan logo PN itu, bila banyak juga negeri memohon untuk mengguna logo Pas, jadi Pas akan membawa perkara itu ke dalam perbincangan mesyuarat (PN) akan datang.

“Setakat ini, Pas Kelantan dan Terengganu juga membawa cadangan sama (namun) terpulang kepada keputusan mesyuarat PN nanti, kita harap mana yang lebih ada peluang untuk pengundi suka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast