Datuk K. Kumaraendran

KUALA LUMPUR – Peguam bela yang mewakili Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membantah apabila dimaklumkan anak guamnya perlu membela diri bermula September ini.

Keadaan menjadi tegang ketika perbincangan mengenai tarikh membela berlangsung dalam kamar Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob.

Ketika itu Rozina meminta cadangan bagi tarikh pasangan suami itu membela diri atas tuduhan mengambil rasuah berjumlah RM2.8 juta setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan Zizie Izette.

Pada prosiding sebelah petang, peguam yang mewakili Bung Moktar, M Athimulan memberitahu, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra itu perlu menghadiri sidang Parlimen pada 3 Oktober hingga 29 November dan beliau mencadangkan tarikh bicara bermula Disember.

Bagaimanapun Rozina menggeleng tanda tidak setuju dan berkata, prosiding perlu bermula bulan ini.

Ini menyebabkan peguam mewakili Zizie Izette, Datuk K Kumaraendran bangun membantah.

“Ini tidak betul Yang Arif. Saya ada anak guam lain yang sedang berdepan dengan kes hukuman mati. Kes itu pula sudah lama ditetapkan dan tunggu bicara. 

“Ada juga kes yang tertangguh begitu lama. Mengapa kes Bung dianggap penting?” soalnya.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hadir ke mahkamah pada hari keputusan sama ada dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad atau dibebaskan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2022.

Ini menyebabkan prosiding ditangguhkan sebentar dan Rozina mengarahkan pihak terlibat berjumpanya di kamar hakim untuk memuktamadkan tarikh membela diri.

Hakim itu kemudian menetapkan tarikh antara September sehingga Januari tahun depan bagi prosiding bela diri dengan Bung Moktar memaklumkan mahkamah akan memanggil lapan saksi termasuk beliau.

Tarikh bela diri ditetapkan pada 23 dan 26 September ini, 14 dan 28 Oktober, 21 dan 30 November, 1 dan 7 Disember serta 3 dan 9 hingga 13 Januari tahun depan.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Zizie diperintahkan memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi selepas Mahkamah Sesyen memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Rozina menawarkan mereka itu tiga pilihan sama ada tertuduh terbabit mahu berdiam diri dengan tidak menjawab tuduhan, memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas pendakwaan atau memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya.

Bung dan Zizie memilih pilihan ketiga.

Bung didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.

Selain itu Bung Moktar mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala pasangan itu diwakili peguam, Kumaraendran, Athimulan dan Ridha Abdah Subri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast