Sanusi Md Noor Foto MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pas Kedah berhasrat untuk mengikut jejak Kelantan dan Terengganu tidak menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) sebaliknya mahu memakai logo ‘bulan’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengundi Pas ‘alergik’ dan keliru dengan lambang PN yang berwarna biru kerana seakan-akan sama dengan logo Barisan Nasional (BN).

“Kelantan sudah maklum kepada saya boleh tak guna logo Pas, saya kata kami pertimbangkan, Terengganu pun sebut benda yang sama.

“Hari ini Ketua Bersatu Terengganu jawab mereka setuju Pas guna logo sendiri di Terengganu.

“Kalau di tempat lain setuju orang Kedah pun nak minta pakai logo Pas juga. Tugas nak berunding perkara itu kita serah kepada Datuk Ustaz Yahya,” kata Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Noor (dua kiri) bersama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad (tiga kiri) serta Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari (kiri) di majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-63 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2022.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Muktamar Pemuda Pas Malaysia ke-63 malam ini. Turut hadir Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad.

Menurut Sanusi, sebelum ini Pas menggunakan logo PN dalam pilihan raya kerana merasakan pengundi di negara mahu memilih parti yang mempunyai kerjasama dalam satu gabungan.

Katanya, penggunaan logo tersebut perlu diperbetulkan sekiranya terdapat pengundi merasakan mereka alergik dengan warna yang terdapat pada logo PN.

“Kerana kita perhatikan tiada parti yang bergerak solo boleh menang di Malaysia. PH ada gabungan, Pas bertanding solo 158 kerusi menang 18. Tak boleh menang. Pengundi tak terima.

“Maka kita buat keputusan untuk menggunakan logo PN kerana pengundi nak parti yang ada gabungan. Maka kita guna logo PN.

“Tapi kalau duduk dalam PN orang alegik dengan logo PN yang warna sama dengan BN, patutkah kita biarkan perkara itu ataupun kita membetulkan keadaan itu? Jadi kita kena perbetulkan,” kata Sanusi.

Beliau turut meminta supaya Pemuda Pas untuk membuat analisis penggunaan loga Pas atau PN lebih baik pada PRU nanti.

Sementara itu Sanusi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan banyak kerusi akan menyaksikan pertembungan lebih tiga penjuru antara PN, BN, Pakatan Harapan dan Pejuang.

Beliau mendakwa, semua pemimpin BN yang berjawatan mahu bertanding dalam pilihan raya.

“Kalau semua bahagian nak jadi calon, kerusi Parlimen (Kedah) ada 15 sahaja kerusi DUN ada 36. Ketua pemuda, ketua wanita, calon sedia semua nak bertanding.

“Agak mustahil untuk satu lawan satu, kena ada ada tiga penjuru. Dalam Barisan Nasional kalau jadi pemimpin ketua bahagian, ketua parti kalau tak jadi calon satu kebodohanlah kot.

“Kena jadi calon. Tak menang tak apa asal jadi calon. Jadi budaya ini saya faham dan budaya ini ada dalam BN,” kata Sanusi.

Sabtu lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu Ariffin Deraman mencadangkan PN menggunakan lambang parti itu pada PRU15.

Ariffin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri dilaporkan berkata, cadangan itu dibangkitkan susulan senario politik di Pantai Timur berbeza berbanding pada peringkat Persekutuan.

Media pada 31 Ogos lalu melaporkan Ketua Bersatu Terengganu, Razali Idris berkata, penggunaan lambang PAS atau Perikatan Nasional (PN) bukan satu keperluan, sebaliknya tumpuan lebih kepada usaha memastikan parti menang dan terus menerajui kepimpinan negeri.

Serentak itu pihaknya bersetuju supaya Pas menggunakan logo sendiri di Terengganu pada PRU-15 nanti.- MalaysiaGazette