Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berucap pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-68 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Rundingan 27 kerusi Parlimen berisiko dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) antara Pas dan UMNO hanya akan dimuktamadkan sehingga hari penamaan calon.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, rundingan itu perlu diteruskan bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) menguasai kesemua kerusi Parlimen itu dan membentuk kerajaan.

“Kami di pihak Pas sentiasa menyebut bahawa rundingan demi untuk menyelamatkan negara daripada PH wajib untuk diteruskan.

“Mungkin akan ditanya sampai bila, jawapannya sampai ke hari penamaan calon, rundingan ini akan kami usahakan terutamanya pada 20 hingga 27 kerusi.

“Ia dilihat berpotensi untuk dimenangi oleh UMNO atau Pas sekiranya mereka mengelakkan bertembung antara satu sama lain,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Raia Hotel, di sini hari ini.

Terdahulu Ahmad Fadhli menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) ke-63.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberi tempoh sekurang-kurangnya 30 hari kepada UMNO untuk mengadakan rundingan dengan parti itu bagi mengelakkan pertembungan di 27 kerusi.

Tuan Ibrahim berkata, walaupun ruang itu masih terbuka namun pihaknya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bertembung dengan kerusi UMNO.

Beliau berkata, sekiranya berlaku pertembungan, ia akan merugikan UMNO dan Pas sekali gus memberi kelebihan kepada PH yang memenangi kerusi itu pada PRU-14 lalu.

Sementara itu, Ahmad Fadhli mengulangi pendirian Pas bahawa parti itu tidak pernah menamatkan riwayat Muafakat Nasional (MN) meskipun dilihat tiada kerjasama politik sejak menyertai Perikatan Nasional (PN) tahun lalu.

“MN tidak pernah mati, tiada siapa pun yang mentalkinkan MN, cuma mungkin di pihak UMNO-BN mereka sering sebut nak bertanding solo dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette