ALOR SETAR – Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Nadzir Helmi menyelarkan tindakan sesetengah pihak yang sengaja meniupkan sentimen melaga-lagakan perpaduan ummah pada Muktamar Pas yang berlangsung di sini.
Ia susulan sebuah portal bahasa Inggeris tempatan mempertikaikan tiada gambar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada galeri arkib yang dipamerkan pada Muktamar Pas di Kompleks Pas Kedah.
“Perlu saya perjelaskan, gambar Tuan Guru Nik Aziz tiada di dalam galeri arkib susulan gambar yang dipamerkan hanya mereka yang tersenarai dalam jawatan Presiden sejak Pas ditubuhkan.
“Tuan Guru Nik Aziz tidak pernah menjawat jawatan Yang Dipertua mahupun Presiden parti. Bagaimanapun, yang menjadi persoalan kepada kami gambar Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Dr Harun Din turut tidak dipamerkan namun ia tidak pula diulas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam perkembangan sama, Nadzir turut mempertikai penulisan dalam artikel tersebut yang memetik “Pas hanya menerima UMNO selepas kematian Nik Aziz pada 2015” hanya kerana tiada gambar tokoh politik Pas itu dipamerkan.
“Saya kecewa dengan persepsi ini tambahan pula ketika negara perlukan seluruh ahli politik bersatu berfikir untuk rakyat tetapi lidah media tidak bertanggunjawab begini memecahkan dan meretakkan lagi usaha untuk berpadu dalam meneliti nasib rakyat yang kian meruncing.
“Cukuplah melariskan berita dengan agenda murah begini. Taburlah berita yang memberi harapan baik untuk rakyat memilih dengan matang dan menjadikan negara kita bukan hanya maju pada pembangunan fizikal, tetapi kemajuan minda ‘first class’ dalam kalangan rakyat,” jelasnya. – MalaysiaGazette