Antara perwakilan yang hadir ke pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Pas masih menunggu jemputan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membincangkan tarikh pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, setakat ini, pihaknya masih tidak dipanggil pimpinan Kerajaan Keluarga Malaysia itu sambil menegaskan Pas perlu dilibatkan sebelum pembubaran Parlimen dilakukan.

“Sehingga ini tak ada (PM panggil Pas bincang tarikh bubar Parlimen).

“Sepatutnya dia (Perdana Menteri) panggil bincang lah sebab kita dalam kerajaan, benda ini tak ada,” katanya pada sidang media di Kompleks Pas Kedah, di Kota Sarang Semut, di sini, hari ini.

Terdahulu Abdul Hadi menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di hadapan 1,300 perwakilan dari 197 kawasan dari seluruh negara.

Khamis lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan bahawa mesyuarat Kabinet masih belum membincangkan soal pembubaran Parlimen setakat ini.

Tuan Ibrahim selaku Timbalan Presiden Pas berkata, ia susulan keputusan untuk membubarkan Parlimen hanya boleh dimuktamadkan Kabinet dan bukannya Perdana Menteri sebelum cadangan itu dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Perdana Menteri agar berunding dengan gabungan itu sebelum membubarkan Parlimen. – MalaysiaGazette