ALOR SETAR – Perikatan Nasional (PN) sedia berdepan sebarang kemungkinan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk pertembungan lebih tiga penjuru.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun akar umbi Pemuda PN mengutarakan cadangan elak pertembungan namun situasinya dilihat agar sukar.
“Apa sekali pun situasi kita akan hadapi realiti. Kalau ada pertembungan kita akan lawan. Kita juga bersedia hadapi tiga atau empat pertembungan.
“Kita ada strategi yang tertentu untuk hadapi pilihan raya dan PN sudah buat persiapan selengkapnya untuk berdepan sebarang kemungkinan.
“Tiga penjuru atau lebih kami semua ada pengalaman dan kita semua akan hadapi realiti politik itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Pas Kedah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya pertembungan lebih tiga penjuru berlaku.
“Harapan kita untuk mendapatkan kemenangan banyak kerusi. Tadi tuan guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) pesan mengenai pengundi kuda yang mana mereka belum pernah keluar mengundi selain jumlahnya agak ramai.
“Jadi kita lihat kecenderungan anak muda menolak kleptokrasi, salah laku kuasa, rasuah jadi kita percaya PN merupakan pilihan terbaik,” ujar beliau. – MalaysiaGazette