Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (kanan) bersalaman bersama Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir ke pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – “Rundingan pembahagian kerusi membabitkan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah bermula,” kata  Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan setakat ini pembahagian itu masih belum selesai.

Jelas beliau, pihaknya telah diberitahu untuk segera menyelesaikan pembahagian kerusi membabitkan komponen parti dalam PN.

“Kita dah mula runding (kerusi) tapi belum selesai. Saya diberitahu untuk segerakannya.

“Jangkaan selesai pembahagian kerusi itu bukan bulan tapi kena settle (selesai) dalam tempoh hari,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Pas di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai gejala rasuah kian berleluasa dalam kalangan orang Islam dan bukan Bumiputra tidak perlu didebatkan, Muhyiddin menegaskan, ia membabitkan semua golongan.

Saya fikir tidak harus apa orang kata kita debatkan kerana realitinya itu yang sedang berlaku yang mana rasuah telah berleluasa dalam kalangan Islam serta bukan Islam.

“Sebab itu PN ambil pendirian yang tegas iaitu berpegang kuat menentang salah guna kuasa, rasuah serta penyelewengan. Malah, pendirian ini kita telah putuskan sejak awal lagi,” jelas beliau. – MalaysiaGazette