Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan terdapat rundingan antara pemimpin UMNO dan Pas, seperti didakwa Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Kata Mohamad, beliau tidak tahu siapa individu daripada UMNO yang dimaksudkan oleh Presiden Pas itu.

“Saya sendiri tidak tahu dengan siapa beliau runding, dengan saya memang tidaklah. Sebenarnya janganlah kita mahu mengadu domba parti orang lain, jaga parti sendiri. Saya jaga parti saya, beliau jaga parti beliau.

“Apa sahaja perundingan, mesti telus, jangan buat dalam gelap,” katanya pada program program Semarak Merdeka di Rantau, hari ini.

Media hari ini melaporkan Abdul Hadi berkata, pintu rundingan antara Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional sentiasa terbuka dan masih berjalan ketika ini melibatkan pimpinan serta ahli akar umbi kedua-dua parti.

Mohamad berkata, beliau tidak mengetahui sekiranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi mengutuskan pemimpin parti itu untuk berunding dengan Pas.

“Setakat hari ini saya tidak tahu, boleh jadi ada tetapi saya tidak tahu. Sebagai Timbalan Presiden, saya sendiri tidak pernah dengar Presiden hantar wakil khas untuk runding,” katanya. -MalaysiaGazette