Mokhzani Ismail

KUALA LUMPUR – Ketua juri Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan lagu yang bertanding dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) tidak sama dalam penjurian AIM.

Beliau berkata, ini kerana kriteria AIM lebih mendalam dan terperinci apabila bertanding 10 lagu dalam AJL di mana berbeza dengan bertanding 60 lagu dalam AIM.

“Apatah lagi kriteria penjurian berbeza di mana dalam AJL pelbagai genre disatukan dalam satu pertandingan sedangkan AIM ia diasingkan mengikut kategori.

“Lagi banyak lagu yang bertanding risiko terkeluar dari posisi Top 5 pasti berlaku. Juri yang dipilih dalam AIM adalah pakar dalam kategori yang dipertandingkan, sudah tentulah penjurian berbeza dengan AJL,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau tampil memberi jawapan punca kegagalan lagu Mimpi nyanyian Haqiem Rusli berada dalam senarai calon akhir anugerah berprestij itu.

Semalam, Haqiem meluahkan rasa pelik selepas kegagalan lagu nyanyian dan ciptaannya, Mimpi tidak tersenarai dalam calon akhir AIM23.

Menurutnya, pihak pengurusannya, FMC Music mencalonkan lagu terbabit untuk bertanding dalam enam kategori namun tidak berjaya bolos ke lima terbaik.

Enam kategori terbabit adalah lagu pop terbaik, vokal lelaki terbaik, susunan muzik terbaik, rakaman lagu terbaik, runut bunyi (ost) terbaik di dalam drama dan muzik video terbaik.

Mengulas lanjut, Mokhzani menambah, tarikh release lagu Mimpi adalah pada Disember 2019 sedangkan lagu-lagu pencalonan diambil kira bermula pada 1 Januari 2021 sehingga 30 Jun 2022.

“AIM22 sebelum ini adalah pada tahun 2016 dan pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) iaitu penganjur AIM mengambil keputusan lagu-lagu 2017 sehingga 2020 tidak akan diambil kira sebab tempoh masa yang sudah lama dan jika dibenarkan jumlah lagu-lagu akan terlalu banyak untuk diadili,” katanya.

AIM23 bakal berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada 11 September ini. dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.

Bagi edisi kali ini, pihak penganjur menerima 650 pencalonan bagi karya yang diterbitkan dalam tempoh 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022 dan hanya 105 daripadanya disenarai pendek menerusi 21 kategori yang dipertandingkan.

Selain Mokhzani, juri lain adalah Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Datuk Afdlin Shauki, Mas Idayu, Noryn Aziz, Fauzi Marzuki dan lain-lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast