KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri memandang serius laporan berhubung rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di beberapa negara luar.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, beliau telah menerima surat daripada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan ADUN Kesidang, Seah Shoo Chin yang memohon bantuan dan kerjasama kementerian untuk membebaskan serta membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket berkenaan di beberapa negara.
Menurut beliau, kementeriannya melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bekerjasama erat dengan pihak berkuasa negara tuan rumah yang berkenaan bagi membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang terlibat.
Selain itu, katanya, kementerian juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan mereka dibawa pulang segera.
Sehingga 2 September lalu, jumlah mangsa yang dilaporkan di Kemboja seramai 148 orang, Laos (22), Myanmar (dua) dan Thailand (23).
“Manakala bilangan mangsa yang berjaya diselamatkan dan dibawa pulang dari Kemboja adalah seramai 65 orang, Laos 10 orang, Myanmar dua orang dan Thailand 10 orang.
“Semua laporan serta dokumen diterima oleh kementerian akan disalurkan terus kepada Perwakilan Malaysia yang berkenaan untuk tindakan susulan segera dengan pihak berkuasa negara tuan rumah.
“Pada masa sama, proses ini tertakluk kepada prosedur dan undang-undang di negara terbabit yang melibatkan urusan siasatan, intipan, usaha menyelamat, dokumentasi dan sebagainya yang akan mengambil masa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Saifuddin menasihatkan individu atau waris yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara untuk tampil dan membuat laporan polis bagi membantu siasatan sewajarnya.
Seterusnya, kata beliau, individu atau waris boleh berhubung terus dengan Kementerian Luar Negeri Malaysia melalui Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia di Luar Negara melalui e-mel [email protected] atau melaporkan secara terus di Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri bagi mendapatkan bantuan selanjutnya.
“Kita nasihatkan rakyat Malaysia sentiasa berwaspada dengan tawaran bekerja di luar negara, terutama sekali bagi pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan dan diterima melalui platfom media sosial seperti Facebook, Telegram, Wechat dan lain-lain,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: