Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) bergambar bersama penduduk sempena kempen Majlis Perasmian Penutup Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di Dataran PPR Seri Alam 2, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM 04 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – “Sebagai orang parti, orang tahu kesetiaan saya, saya tak pernah lompat ke mana-mana, setia dengan UMNO, saya ikutlah apa arahan dari pucuk pimpinan parti.”

Demikian reaksi Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung keputusan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hendak bertanding di kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu, beliau sudah dimaklumkan oleh Mohamad atau Tok Mat supaya mencari kawasan lain untuk bertanding nanti.

“Ya, dia (Tok Mat) dah maklum pada saya untuk saya pergi ke tempat lain dan oleh kerana beliau adalah Ketua Bahagian Rembau, saya timbalan kepada beliau, saya kena bagi laluanlah.

“Beliau kata nak bertanding di Rembau dan minta saya bagi laluan kepadanya. Saya tidak ada halangan. Saya kena bagi laluanlah,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Minggu Kesedaran Pendermaan Organ (MKPO) 2022 di sini hari ini.

Semalam, Tok Mat menyatakan hasratnya untuk terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam PRU-15 ini.

Malah beliau juga turut mengintai kerusi Parlimen Rembau.

Ditanya ke mana beliau akan bertanding, Khairy menjelaskan;

“Itu saya tak tahu, sebab saya dari Rembau. Saya Timbalan Ketua Bahagian Rembau. Saya tak tahu tempat atau kawasan lain sebab saya berpolitik di Rembau lebih 20 tahun dan jadi Ahli Parlimen hampir 15 tahun di sana.

“Saya tak pernah fikir nak jadi ahli Parlimen atau calon di tempat lain. Kenapa saya nak fikirkan tempat lain, sedangkan saya sudah 15 tahun di Rembau. Bila saya diberitahu untuk keluar cari tempat lain, maka saya kenalah sekarang berusaha sekiranya ada kawasan nak terima saya,” katanya sambil ketawa.

Beliau juga menjelaskan akan akur kalau pucuk pimpinan memintanya bertanding di kawasan lain atau tidak lagi memilihnya sebagai calon pada PRU ini.

“Saya akan akur dan kalau pucuk pimpinan tak pilih saya bertanding pun saya akan terima sebab saya orang parti. Cuma setakat ini saya belum terima apa-apa arahan lagi.

“Saya nak pergi tempat lain pun rasa malu juga (ketawa)… nak ceroboh kawasan orang lain sebab politik UMNO ini kita bertanding di kawasan kita, kawasan di mana kita menjadi ahli, berkhidmat dan berjasa di kawasan tersebut.

“Sekarang ini terpulanglah kepada pucuk pimpinan parti dan pada masa sama menunggu arahan itu saya sedang berusaha bertanya khabar dengan kawan-kawan yang mungkin ada tempat nak beri kepada saya, tapi kalau tak ada pun, tak apa,” katanya. – MalaysiaGazette