PUTRAJAYA – Penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan sinis menjawab ura-ura Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bakal bertanding melawannya.
Ditanya sama ada beliau bersedia untuk menentang Radzi di Putrajaya, Tengku Adnan atau dikenali Ku Nan berseloroh dengan bertanya siapa Radzi Jidin.
“Siapa dia (Datuk Radzi Jidin), saya tak kenal. Maaf siapa dia?, sinis Ku Nan.
Bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutup Hari Potensi dan Sambutan Hari Kebangsaan Tabika Kemas Wilayah Persekutuan malam tadi.
Sebelum ini desas desus kuat menyatakan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan diletakkan di Putrajaya bagi merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN).
Ditanya kebarangkalian untuk kekal bertanding di Putrajaya, Tengku Adnan berkata, ia terpulang kepada pucuk pimpinan sama ada ingin mengekalkan beliau bertanding di Putrajaya atau tidak.
Malah beliau bersedia untuk menggalas misi untuk mempertahankan kerusi ini sekiranya masih diberikan kepercayaan parti.
“Saya kalau diberikan peluang, saya akan pertahankan Putrajaya kerana warga saya masih lagi barangkali kasih kepada saya,” katanya lagi.
Untuk rekod, Tengku Adnan adalah penyandang kerusi Parlimen Putrajaya selama empat penggal.
Sebelum ini, Radzi menafikan beliau akan bertanding di Putrajaya walaupun beliau sering dilihat melibatkan diri dalam majlis kementerian di Putrajaya sehingga dikaitkan akan mewakili Bersatu bertanding di pusat pentadbiran negara itu. – MalaysiaGazette
Kami rakyat Putrajaya tetap menyokong Ahli Parlimen. Putrajaya..YB Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor .Walau apa terjadi