A Kadir Jasin
A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat semula Datuk Rizal Mansor jika bekas pegawai khas Datin Seri Rosmah Mansor itu pernah melakukan kesalahan lain.

Itu pandangan wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin yang berpendapat, tindakan itu perlu dilakukan bagi mendakwa Rizal dan watak-watak sepertinya di mahkamah atau merampas aset yang diperoleh melalui wang atau kegiatan haram.

A. Kadir mendakwa, memandangkan individu seperti Rizal secara aktif bersubahat melakukan rasuah dan menyalahgunakan kuasa, nampak seolah-olah tidak adil mereka dibebaskan semata-mata kerana menjadi saksi pendakwaan.

“Bila kena tangkap dan untuk selamatkan diri, mereka cerita habis. Macam bekas pegawai khas Rosmah, Rizal Mansor (bukan adik beradik), berpaling tadah jadi saksi pendakwaan kes rasuah projek solar sekolah luar bandar Sarawak.

“Banyaklah rahsia Rosmah didedahkan sehingga sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Rosmah bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek solar sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa meminta RM187.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui Rizal, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek berkenaan.

Rosmah turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Disember 2016, selain dikatakan menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 September 2017.

Rizal pada mulanya didakwa atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM5.5 juta untuk dirinya dan Rosmah, berhubung projek tersebut pada November 2018.

Namun, pada 8 Januari 2020, mahkamah melepas dan membebaskan Rizal, selepas pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadapnya dan beliau kemudian menjadi saksi pendakwaan. – MalaysiaGazette