Dua suspek yang diburu selepas menilam 10 orang mangsa dan mencederakan 15 yang lain. foto RCMP Saskatchewan

OTTAWA – Polis Kanada melancarkan pemburuan besar-besaran bagi mengesan dua lelaki yang disyaki menikam sekurang-kurangnya 10 orang hingga mati dalam tragedi yang mengejutkan negara itu.

Dua suspek, Damien Sanderson dan Myles Sanderson yang memiliki senjata dianggap berbahaya.

Mangsa-mangsa yang ditikam ditemui di 13 lokasi dalam komuniti orang asli James Smith Cree Nation dan Weldon.

Ia adalah tindakan keganasan besar-besaran yang paling menyayat hati pernah berlaku di Kanada, kata Perdana Menteri, Justin Trudeau.

”Saya terkejut dan kecewa dengan serangan ngeri hari ini,” kata Trudeau dalam satu kenyataan dan mahu mereka yang bertanggungjawab atas serangan dibawa ke muka pengadilan.

Sekurang-kurangnya 15 yang lain cedera dalam pembunuhan itu, dengan polis menggesa penduduk supaya berhati-hati ketika mereka melakukan pencarian di salah satu wilayah terbesar dan terpencil di Kanada.

Susulan tragedi itu, amaran orang berbahaya dihantar ke semua telefon bimbit di seluruh wilayah Saskatchewan, Manitoba dan Alberta – wilayah yang besar hampir separuh saiz Eropah.

Darurat diisytiharkan di James Smith Cree Nation yang mempunyai kira-kira 2,000 penduduk.

“Jangan tinggalkan lokasi yang selamat. Berhati-hati apabila membenarkan orang lain masuk ke kediaman anda,” kata polis Saskatchewan ketika memberi amaran kepada orang ramai di seluruh kawasan itu.

Banyak pusat pemeriksaan telah diwujudkan dan para pemandu digesa supaya tidak mengambil penumpang.

Suspek kali terakhir dilihat oleh orang awam di Regina pada kira-kira waktu makan tengah hari dan mungkin dalam perjalanan dengan Nissan Rogue hitam, kata Pegawai Blackmore.

Hubungan antara Damien Sanderson, 31, dan Myles Sanderson, 30, tidak diketahui.

Polis enggan membuat spekulasi mengenai motif di sebalik serangan itu, tetapi Ketua Persekutuan Negara-Negara Pribumi Berdaulat tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan dadah. – BBC