Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan  dakwaan berlaku unsur intimidasi semasa mengambil keterangan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM telah memanggil dan merakam percakapan daripada Rafizi pada 3 September lalu bagi membantu siasatan setelah laporan polis diterima berhubung kenyataan tular di aplikasi media sosial yang didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abd Latiff Ahmad.

“Bagi membantu siasatan, sebuah telefon bimbit bersama kad sim yang dipercayai digunakan oleh Rafizi untuk memuat naik hantaran yang disiasat telah diambil dan disimpan oleh PDRM bagi proses analisa forensik digital.

“PDRM menafikan tindakan menyimpan telefon bimbit milik Mohd Rafizi Ramli sebagai satu bentuk intimidasi dan sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada proses siasatan bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (akta 574) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi membolehkan analisa forensik digital dijalankan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan beliau tengah malam tadi.

BERITA BERKAITAN: Anwar gesa KPN hentikan tekanan terhadap Rafizi

Dalam perkara berkaitan, tambah Acryl, peranti berkenaan bagaimanapun akan dipulangkan kelak setelah proses analisa dan siasatan selesai dilakukan oleh pegawai penyiasat kes tersebut.

Malah, katanya, PDRM juga sedang menyiasat laporan polis yang dibuat terhadap Abd Latiff dan sesi rakaman keterangannya telah pun selesai dijalankan.

“Proses siasatan bagi kedua-dua laporan polis adalah secara profesional tanpa sebarang bentuk tekanan seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberikan ruang kepada PDRM untuk menyiapkan kertas siasatan,” tegasnya.

Terdahulu pada Ahad Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan dalam laman Facebook peribadinya menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan polis merampas telefon bimbit milik Rafizi.

Ahli Parimen Port Dickson itu menyifatkan tindakan itu sebagai proses intimidasi yang perlu dihentikan segera oleh polis agar tidak memberi tekanan kepada Rafizi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Fitnah adalah satu jenayah di bawah Kanun Keseksaan…tidak ada sesiapa yg kebal terhadap undang2 termasuk Rafizi..harap beliau dapat bantu polis mencari Zainab…syabas polis

Comments are closed.