Tiga suspek dilihat mengejar dan menyerang sebuah kereta dalam insiden rusuhan bersenjata membabitkan sekumpulan individu di Taman Melor, Kuala Selangor semalam.- Gambar PDRM.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya memberkas seramai enam orang individu yang disyaki suspek terlibat dalam insiden rusuhan bersenjata di Taman Melor, Bestari Jaya, Kuala Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa yang mengesahkan perkara itu berkata, penahanan itu dibuat susulan satu sklip video memaparkan insiden rusuhan yang tular di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan awam.

Semasa kejadian semalam, polis telah mendapat maklumat berlaku pergaduhan sekumpulan lelaki di kawasan perumahan terbabit.

“Bertindak daripada maklumat tersebut, polis telah menjalankan siasatan sebelum bertindak pantas melakukan serbuan yang kemudian berjaya membawa kepada tangkapan enam lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 35 tahun yang disyaki terlibat dalam rusuhan itu mengganggu ketenteraman awam.

“Kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor pagi tadi untuk permohonan perintah reman dan permohonan polis diluluskan.

“Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 8 September ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dalam kes tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ramli menjelaskan polis telah memulakan siasatan mengenai  rusuhan.

“Setakat ini kita sedang melakukan siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda merbahaya yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahannya,” katanya.

Beberapa individu dilihat merusuh dengan membawa senjata di atas jalan raya di kawasan perumahan Taman Melor di Kuala Selangor yang tular di media sosial sejak semalam.Ihsan IPD Kuala Selangor

“Manakala mana-mana saksi yang telah melihat kejadian tersebut diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Fatmaliani di talian 013-6716323 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu polis melicinkan siasatan dan tindakan lanjut dalam kes ini,” tegasnya.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 0.34 saat tular di media sosial memaparkan pergaduhan antara dua kumpulan yang membuat kekecohan di jalan raya berhampiran kawasan perumahan Taman Melor di Bestari Jaya.

Pengamatan dalam video itu juga mendapati beberapa individu dikesan memegang senjata seperti kayu dan besi meluru kepada beberapa kenderaan yang kemudiannya mencetuskan rusuhan. – MalaysiaGazette