Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hadir bagi mendengar keputusan sama ada Mahkamah Rayuan membenarkan atau menolak rayuan untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 05 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini akan menentukan nasib bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam pertuduhan rasuah dan pengubahan wang dihadapinya.

Abdul Azeez ketika ini sedang berdepan dengan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Keputusan akan ditetapkan tiga panel hakim bersidang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said.

Sepatutnya keputusan sudah disampaikan minggu lepas pada 26 Ogos namun pada saat-saat akhir Abdul Azeez dimasukkan ke ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana mengalami ulser kronik.

Sebelum itu Mahkamah Tinggi sudah menolak permohanan Abdul Azeez yang mahu membatalkan pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram itu.

Untuk makluman, pada prosiding lepas, panel hakim sudah mempunyai keputusan mengenai rayuan perayu namun tidak sangka Abdul Azeez mengalami masalah kesihatan pada saat-saat akhir.

Ini juga merupakan kali ketiga prosiding berkaitan dengan kes berkenaan ditangguh.

Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez didakwa atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Setakat ini, seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.

Prosiding di jangka bermula bila-bila masa dari sekarang, Abdul Azeez tiba ke pekarangan Istana Mahkamah sekitar pukul 9 pagi dengan memakai sut berwarna biru. – MalaysiaGazette