IPOH – Tiada elemen jenayah membabitkan kejadian seorang warga emas ditemui rentung dalam kebakaran dua rumah teres di Jalan Menglembu Barat 1, Menglembu di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kebakaran itu menyebabkan, Loo Kin Chan @ Loo Kok Chan, 79, yang tinggal sendirian di rumah berkenaan maut susulan 90 peratus anggota badannya terbakar.
Bagaimanapun, dua penghuni rumah bersebelahan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kebakaran dilaporkan berlaku pukul 5.24 pagi bermula dari rumah lelaki warga emas itu sebelum merebak ke rumah bersebelahan.
“Kedua-dua buah rumah itu musnah hampir 80 peratus dan pihak bomba dilaporkan berjaya mengawal kebakaran tersebut dalam tempoh sejam.
“Pihak bomba masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu termasuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette