Amirudin Shari

SHAH ALAM –  Kerajaan Negeri Selangor tetap meneruskan penyahwartaan kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah bagi mengelak risiko tindakan undang-undang diambil syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan di tanah itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penyiaran nyahwarta kawasan itu dilakukan pada 5 Mei lalu untuk melengkapkan proses yang terhenti pada 2006.

“Kalau kerajaan negeri tidak meneruskan siar warta itu, kerajaan negeri akan berdepan saman sebab syarikat-syarikat tersebut akan kehilangan peluang perniagaan yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (oleh kerajaan sebelum ini),” katanya kepada media selepas hadir di program Sinergi Pendidikan Yayasan Selangor 2022 di sini hari ini.

Jelas Amirudin, anak syarikat negeri yang mempunyai kepentingan di hutan tersebut akan diminta untuk tidak meneruskan projek pembangunan kecuali yang membabitkan kepentingan awam seperti pembinaan jalan dan tanah kubur.

“Tapi kalau ia membabit syarikat swasta, apa upaya kita sebab ia adalah keputusan kerajaan sebelum ini. Kita tidak ada ruang kecuali kita bersedia untuk membayar ganti rugi,” tambahnya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar berkenaan dakwaan Hutan Simpan Bukit Cherakah telah 22 kali dinyahwarta sejak 1924.

Isu berkenaan disuarakan oleh Kumpulan Otai Reformis 1998 (Otai) yang mempertikai pengecilan kawasan tersebut.-MalaysiaGazette