KUALA LUMPUR – Mantan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan mendedahkan kepada Mahkamah Tinggi yang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terpaksa mendapatkan surat sokongan (LOS) bagi mengumpul dana AS$3 bilion.
Saksi pendakwaan kes 1MDB ke-23, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa memaklumkan ia dilakukan kerana ekonomi negara ketika itu dalam keadaan lemah.
Menurutnya, LOS diperlukan bagi projek usahasama antara 1MDB dengan dengan Aabar (Investments PJS Ltd).
Siti Zauyah mendedahkan sebuah kertas cadangan telah disediakan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan telah dibentangkan kepada barisan Kabinet bagi mendapatkan kelulusan.
Saksi berkata demikian pada prosiding penyelewengan dana RM2.3 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.
Peguam mewakili Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed menyoal balas saksi dengan menyoal berhubung LOS yang didakwa ditandatangani Najib untuk 1MDB mendapatkan pinjaman AS$3 bilion yang dikaitkan dengan usaha sama 1MDB dengan Aabar Investments PJS.
Dakwa Siti Zauyah, fakta yang menunjukkan LOS perlu diperoleh menunjukkan kerajaan ketika itu lemah.
“Dari situ kita sudah nampak sangat kerajaan kita lemah waktu itu,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Siti Zauyah juga memberitahu beliau telah diarahkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada masa itu, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah untuk memasukkan perkara terbabit di dalam kertas cadangan.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – MalaysiaGazette