Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua kanan), Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Marzuki Yahya (tengah) menunjukkan dokument permohonan pendaftaran Gerakan Tanah Air (GTA) di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 06 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Gerakan Tanah Air (GTA) akan menggunakan logo obor dengan jaluran bendera Malaysia dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Kalau bertanding nanti, lambang inilah yang kita nak pakai,” kata Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada sidang media selepas mengemukakan permohonan GTA kepada RoS di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali; Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mohsin Abdul Razak dan Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim.

Menurut Mukhriz, hari ini empat parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan permohonan kepada RoS untuk menubuhkan gabungan baharu parti politik khusus untuk menghadapi PRU-15.

“Jadi kita bukan setakat gerakan sahaja tetapi kita nak masuk bertanding (PRU-15) menggunakan logo yang sama,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, GTA bukan sahaja gerakan politik namun lebih kepada gerakan massa.

“Gerakan ini bergerak sebagai gerakan massa yang mewakili Melayu Bumiputera tapi kita mohon dengan RoS tadi sebagai satu gabungan politik yang nak menyertai PRU-15,” katanya.

GTA, menurut Mukhriz merupakan gabungan orang Melayu yang terdiri dari parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan, golongan profesional, agamawan, akademik dan aktivis.

Ia berlandaskan kepada gerakan membersihkan bangsa Melayu dan negara dari pemimpin-pemimpin yang korup, menyalahgunakan kuasa, tidak berintegriti dan bermasalah moral. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast