khairy jamaluddin
Khairy Jamaluddin

MEMANG seperti tidak masuk akal apabila Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin mencadangkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebagai calon bagi kerusi Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sejak PRU12, kawasan Parlimen di ibu negeri Negeri Sembilan itu dikuasai oleh DAP. Malah, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kini menyandang kerusi tersebut selama dua penggal berturut-turut sejak PRU13.

Pada 2018, Anthony menang dengan majoriti 30,694 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN) dari MCA, Datuk Chong Sin Woon serta calon Pas, Sharifuddin Ahmad.

Sebelum itu, pada 2013, beliau mengatasinya pesaing terdekat iaitu calon BN dari MCA, mendiang Datuk Dr. Yeow Chai Thiam dengan majoriti 12,553 undi serta Abdul Halim Abdullah dari Berjasa dan dua calon bebas iaitu John Fernandez dan Bujang Abu.

PRU-12 pula menyaksikan John yang ketika itu bertanding sebagai calon DAP menamatkan penguasaan BN selama empat penggal di Seremban dengan menewaskan bekas Ketua Wanita MCA, Datuk Yu Chok Tow.

Pengasas DAP, mendiang Dr. Chen Man Hin setakat ini masih memegang rekod memenangi kerusi Parlimen Seremban sebanyak lima kali. Sejak merdeka, DAP menang lapan kali berbanding BN-MCA sebanyak enam kali.

Jika BN menerima cadangan Zool Amali, Khairy berkemungkinan besar berdepan masalah untuk menarik sokongan pengundi khususnya bukan Melayu untuk beralih arah dan tidak lagi memilih DAP.

Namun, Zool Amali masih mempertahankan pendiriannya agar calon muda dari UMNO seperti Khairy diletakkan bertanding di Seremban.

Berdasarkan statistik mengenai kawasan Parlimen Seremban yang dikongsi Zool Amali dalam laman Facebook miliknya, seramai 99,498 daripada 156,604 pengundi atau 63 peratus berumur antara 18 hingga 50 tahun.

Yang selebihnya, seramai 18,830 pengundi berumur antara 61 hingga 70 tahun manakala 12,470 pengundi berusia melebihi 71 tahun.

Dari segi pecahan kaum pula, pengundi Melayu membentuk kumpulan tertinggi iaitu 83,192 orang (53.12 peratus) diikuti 55,264 pengundi Cina (35.29 peratus), 16,213 pengundi India (10.35 peratus) serta 1,735 pengundi dari kaum lain (1.23 peratus).

Di atas kertas, kelihatan BN mempunyai peluang untuk mengambil semula kerusi Parlimen Seremban sekiranya calon muda yang boleh diterima oleh pengundi seperti Khairy diletakkan di situ.

Malah, melihat kepada jumlah pengundi Melayu yang agak besar, calon dari UMNO mungkin berupaya menarik sokongan mereka khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Lenggeng dan Sikamat.

Walau bagaimanapun, penerimaan pengundi di Seremban terhadap calon BN dari UMNO agak sukar dijangka. Semua enam DUN dalam kawasan Parlimen Seremban iaitu Sikamat, Lenggeng, Ampangan, Nilai, Lobak dan Temiang kini dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH).

DUN Nilai, Lobak dan Temiang yang di bawah DAP mempunyai jumlah keseluruhan 77,313 pengundi yang sebahagian besarnya menyokong DAP dan PH sejak PRU12 lagi. Begitu juga dengan DUN Sikamat yang menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bertapak di dua kerusi tersebut sejak 2008.

Setakat ini, MCA masih belum memberi sebarang reaksi berhubung cadangan Zool Amali itu manakala Khairy pula enggan mengulas. Anthony pula tidak gentar jika berdepan dengan Khairy.

Pola pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor menunjukkan DAP masih menguasai sokongan pengundi di bandar-bandar besar. Andainya Khairy dicalonkan di Seremban, menang belum tentu tetapi kalah sudah pasti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast