Gambar hiasan

BUTTERWORTH – Seorang pekerja terminal kontena maut selepas tersepit antara dua kontena dalam satu kejadian di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, hari ini

Kejadian jam 12.35 tengah malam itu menyebabkan lelaki berusia 23 tahun itu maut di lokasi kejadian akibat impak tersepit antara kontena tersebut.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam satu kenyataan media berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati mangsa merupakan pekerja sub-kontraktor di terminal kontena tersebut yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja mengangkut kontena kosong menggunakan prime mover dari jeti ke kawasan penyimpanan kontena kosong.

Jelasnya, mangsa yang ditugaskan sebagai pemandu prime mover dipercayai sedang memeriksa kunci pintu kontena yang sedang disusun di atas kenderaan itu.

“Pada masa sama, seorang pekerja lain telah menolak kontena tersebut dengan menggunakan jentera reach stacker untuk merapatkan kedudukan kontena di atas prime mover tanpa mengetahui mangsa berada di situ.

“Kepala mangsa didapati tersepit di antara dua kontena tersebut dan dia dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan satu notis larangan dan lokasi kejadian serta kenderaan yang digunakan telah disita serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko  yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

“Tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab,” jelas kenyataan itu. – MalaysiaGazette